BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Nov 21, 2009

Hilang pendengaran kerana bakteria

Just For Info






DEMAM yang tidak berpenghujung, kerap menangis dan tidak dapat tidur menjadikan ibu bapa Aqil gelisah.

Bukan itu sahaja, tahap kesihatan anak mereka yang berusia dua tahun itu semakin merudum sejak dihantar ke pusat jagaan harian kanak-kanak berhampiran pangsapuri mereka.

Setelah berlarutan selama hampir dua minggu dan keadaan tidak bertambah baik, Aqil dibawa berjumpa dengan pakar dan diagnosis dengan segera.

Hasil pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu mengalami jangkitan dalam telinga yang disebabkan oleh bakteria.

Jelas Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Aminuddin Saim, gejala jangkitan ini dikenali sebagai Otitis Media atau jangkitan dalam telinga (OME).

“Bukan perkara luar biasa apabila seorang kanak-kanak berusia di antara dua hingga enam tahun mendapat penyakit ini. Namun, yang membimbangkan ialah ramai ibu bapa yang tidak sedar anak mereka menghidap penyakit ini,” katanya serius.

Bukan sekadar itu, pilihan yang terhad sehingga memaksa kebanyakan ibu bapa menghantar anak mereka seawal usia beberapa bulan selepas kelahiran ke pusat jagaan kanak-kanak menyebabkan penyakit ini semakin berleluasa.

Tegas Aminuddin lagi, kepadatan bayi dan kanak-kanak serta tahap kebersihan yang tidak dapat dipastikan di pusat jagaan itu menjadi faktor utama dalam penyebaran penyakit ini di kalangan kanak-kanak.



Menjelaskan lebih lanjut, Aminuddin berkata, OME merupakan jangkitan di dalam telinga terutama di kawasan selepas gegendang telinga.
Malah OME langsung tiada kaitan dengan telinga luar, tahi telinga atau aktiviti berenang.

Sambungnya lagi, kanak-kanak mudah mendapat OME selepas demam selesema. Seringkali ia terjadi seminggu selepas demam tersebut.

Paling utama, penyakit ini berlaku secara berulang-ulang. Lebih banyak kanak-kanak terdedah kepada persekitaran yang tidak bersih, lebih kerap jangkitan ini berulang.

Dalam kes jangkitan yang lebih kronik, jangkitan tersebut boleh menyebabkan gegendang telinga berlubang dan nanah yang berterusan.

“Lebih parah, cecair dalam telinga ini yang dibiarkan akan menanah dan akhirnya mampu merosakkan gegendang telinga,” kata Aminuddin




Hilang pendengaran



Menyentuh mengenai kesan penyakit ini, sebanyak 10 hingga 20 peratus kanak-kanak yang tidak dirawat dengan segera bakal mengalami masalah pendengaran.

Bukan itu sahaja, kehidupan sosial kanak-kanak OME juga akan terjejas termasuk tahap pembelajaran mereka.

“Kanak-kanak OME cenderung untuk menjadi lebih agresif. Pertuturan mereka juga terjejas dan tahap kesihatan yang sering saja terganggu,” ujar Aminuddin yang membuat kajian penyakit ini beberapa tahun lalu melibatkan seramai 1,097 kanak-kanak prasekolah.

Malahan kanak-kanak OME cenderung mendapat radang otak, jangkitan pada tulang telinga serta mengakibatkan pekak berkekalan.

Bagi merawat OME, lazimnya pemberian antibiotik menjadi pilihan pakar kecuali jangkitan tersebut mencapai tahap kronik.

“Jika keadaan telinga menjadi kronik, pakar akan melakukan pembedahan kecil bagi memasukkan sejenis tiub bagi mengeluarkan cecair yang tersumbat di kawasan dalam telinga tersebut,” ujar Aminuddin.

Tambahnya, tiub tersebut bersifat sementara dan bertujuan menstabilkan tekanan dalam telinga. Selepas tiga hingga empat bulan, tiub itu akan terkeluar dengan sendirinya.
Dalam pada itu, lebih mengejutkan apabila laporan tersebut yang disiarkan dalam jurnal Otorhinolaryngol Pediatric mendedahkan sebanyak 13.8 peratus kanak-kanak menghidap penyakit ini.

2 comments:

Kuazue Mohamad said...

salam..

anak azue dulu (umo 8/9bln) pun alami keadaan macam nie... last2 bawaak ubat sana sini.. then tukar nursery.. alhamdulillah tak lama pas tu hilang... maybe persekitaran mempengaruhi keadaan...

^^ FASHAH ^^ said...

Ye azue.. syian yek.. tu la yg kite takutkan.. anyway kite kena cepat bertindak klu anak kite sakit. :)